Tuesday, 30 August 2016

"Kalau mati, biarlah kami mati bersama......

"Kalau mati, biarlah kami mati bersama"



FARIDAH Ahmad (kiri) ibu kepada arwah Nur Fazilah tidak dapat menahan sebak ketika berada di unit forensik Hospital Kuala Kubu Bharu, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin
KUALA KUBU BHARU: "Kalau ditakdirkan kami mati, biarlah kami mati bersama.. tak sanggup rasanya kalau kami terpisah.

Itu kata dilafazkan Allahyarham Nur Fazilah Mad Zan kepada kakak-kakak iparnya semasa mereka berbual dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Menceritakan kembali perkara itu, Habsah Abdul Rahim, 48, berkata adik beradiknya yang lain ada memarahi adik iparnya itu kerana bercakap tentang perkara yang bukan-bukan sebelum mereka sama-sama tergelak.

"Tak sangka apa yang arwah katakan itu jadi perkara nyata, kami semua amat terkejut apabila dimaklumkan adik dan Nur Fazilah serta dua anak saudara kami maut dalam kemalangan.

"Barulah kami teringat semula kata-kata arwah itu, ..tak sangka doanya makbul walaupun kematian mereka amat tragis. Namun ini semua adalah janji Allah, kami reda dengan ketentuanNya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), hari ini.

Habsah berkata Ahmad Faizal yang lebih mesra dipanggil Abang, anak ke 10 daripada 11 adik beradik dan Nur Fazilah bercinta sejak zaman sekolah sebelum mendirikan rumah tangga lebih lapan tahun lalu.

"Faizal terkenal dengan perangainya yang gila-gila dan menjadi penghibur keluarga dengan wataknya yang kelakar dan suka mengusik kami.

"Rasa macam tidak percaya dia sudah tiada, ..kami begitu terasa dengan kehilangannya kerana kami adik beradik amat rapat antara satu sama lain, kami juga rapat dengan Nur Fazilah serta keluarganya," kata Habsah yang kali terakhir bertemu Ahmad Faizal dan keluarganya pada cuti Aidilfitri lalu.

Seorang lagi kakak Ahmad Faizal, Zuraidah Abdul Rahim, 46, berkata adiknya ada menghubunginya Jumaat lalu bertanyakan sekiranya dia masih ada berhutang wang dengannya.

"Dia juga ada bertanya sama ada kenderaannya mempunyai saman tertunggak. Pada mulanya saya tidak syak apa-apa, tetapi hari ini barulah saya tahu kenapa arwah tanya sebegitu, mungkin dia mahu selesaikan segala hutang sebelum meninggal dunia.

"Arwah ada tanya juga perkara sama pada emak. Saya beritahu dia tiada berhutang apa-apa kerana semua hutangnya sudah dilangsaikan," katanya lagi.

Dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 405.5 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan kira-kira jam 1 pagi itu, Ahmad Faizal, 33, dan isterinya, Nur Fazilah, 33, serta dua anak, iaitu Nur Aimi Nadirah, lapan tahun, dan Ahmad Fakhri Naim, tiga tahun, maut di tempat kejadian.

Bagaimanapun, anak kedua pasangan itu, Ahmad Faqih Nazmi, lima tahun, terselamat dan hanya patah tangan kanan serta cedera di kepala.

Pemandu NISSAN Frontier serta dua penumpang PERODUA Axia dilaporkan cedera, manakala tiga lagi mangsa menaiki Axia dan pemandu Proton Suprima terselamat.

Sumber: BHOnline

0 comments:

Post a Comment