Kuala Lumpur: Pelakon Idris Khan mengakui sedang menjalin hubungan cinta dengan gadis Maghribi yang dikenali sebagai Sanaa Jaffer, 25, sejak tujuh bulan lalu.
Idris, 28, berkata buat masa sekarang mereka masih dalam proses mengenali hati budi dan belum memikirkan soal berumah tangga.
"Apa saya boleh katakan perhubungan kami masih di peringkat awal. Jika semuanya berjalan lancar baru kami boleh ke fasa lebih serius.
"Saya tidak mahu tergesa-gesa dalam soal ini apatah lagi dia pun baru menamatkan pengajiannya di sini. Kalau boleh biar dia bekerja dahulu. Apa pun saya mengikut saja aturan yang ditetapkan," katanya kepada Harian Metro.
Sambung pelakon drama Duda Terlajak Laris ini, perhubungan dengan kekasihnya itu sudah diketahui keluarganya.
Dalam masa sama, Idris tidak mahu berahsia kerana lambat laun akan diketahui peminat dan orang sekeliling juga.
"Saya lebih suka berterus-terang. Kalau ada yang bertanya saya sedia berkongsi, begitu juga sebaliknya. Bukan apa, kalau saya berahsia pun perkara ini akan diketahui juga.
"Cuma saya tidak terlalu mendedahkannya kepada umum. Malah di laman Instagram pun tidak banyak gambar kami bersama. Mungkin sebab itu banyak yang tak perasan," katanya seraya memaklumkan kekasihnya itu beragama Islam.
Menurut Idris, Sanaa adalah wanita paling rapat dengannya dan menjadi tempat berkongsi cerita serta masalah.
Sumber: myMetro
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 5:04
0 comments:
Post a Comment